REJIMEN ASKAR MELAYU DIRAJA (RAMD)
Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD)
Usaha untuk menubuhkan satu pasukan pertahanan yang dianggotai oleh anak-anak Melayu bermula sejak tahun 1902. Banyak perbincangan oleh Raja-Raja Melayu dan Penasihat-Penasihat British telah dijalankan bagi merealisasikan impian ini. Dalam tahun 1913, Almarhum Sultan Alang Iskandar Syah, Almarhum DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhamad Ibni Yam Tuan Antah, Almarhum Raja Di Hilir Perak, Raja Sir Chulan dan Allahyarham Undang Rembau, Datuk Abdullah bin Haji Dahan telah mula menyuarakan hasrat penubuhan pasukan Askar Melayu. Hasrat Raja-Raja ini telah menjadi kenyataan apabila di dalam Persidangan Majlis Mesyuarat Persekutuan pada 23 Januari 1933, Rang Undang-Undang Askar Melayu telah diluluskan dan dikenali sebagai Undang-Undang No 11.
Rejimen Askar Melayu Diraja adalah rejimen tertua dalam Tentera Darat Malaysia. Rejimen Askar Melayu DiRaja bersama-sama dengan Rejimen Renjer Diraja merupakan pasukan tempur infantri di dalam Tentera Darat Malaysia. Rejimen Askar Melayu Diraja merupakan pasukan terunggul di dalam Angkatan Tentera Malaysia. Pada kemuncaknya, pasukan ini mempunyai kekuatan sebanyak 27 batalion. Rejimen Askar Melayu Diraja kini mempunyai kekuatan 25 batalion.
Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) telah ditubuhkan pada 1 Mac 1933. RAMD memngandungi 25 batalion yang mana dua batalion sebagai Batalion Para, dua batalion sebagai Battalion Mekanis, satu Batalion Istiadat dan selebihnya adalah Batalion Infantri Standard. RAMD juga merupakan kor yang tertua dan terbesar di dalam Tentera Darat Malaysia.
Menuju cabaran di alaf baru, Kor Infantri telah disusun semula menjadikan ia sebuah ketumbukan yang mantap dan berkeupayaan tinggi dalam melaksanakan setiap tugas. 3 elemen utama iaitu Infantri Standard, Infantri Mekanis dan Elit Para akan menjadi teras kepada infantri. Satu batalion akan dikhususkan sebagai Batalion Istiadat. Batalian Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang ditubuhkan pada 1 Jan 1938 telah diubah dari peranan sebagai pasukan infantri biasa kepada batalian infantri istiadat mulai 1 Jan 1989. Di atas kecemerlangan yang telah ditunjukkan serta pencapaian mutu yang tinggi, pasukan ini telah diberi kepercayaan dalam kawalan kehormatan utama setiap kali lawatan pembesar-pembesar luar negara. Dalam melaksanakan tugas-tugas dalam operasi dan membantu pihak berkuasa awam semasa aman, pasukan infantri baisa telah disusun semula dari segi keanggotaan dan material kepada Batalion Infantri Standard. Dengan latihan yang intensif dalam semua bentuk cabaran samada konvensional mahupun perperangan insurgensi, batalion ini dilatih supaya siap siaga bagi menghadapi ancaman musuh-musuh negara. Dasar pertahanan negara di abad ke 21 memerlukan ketumbukan Tentera Darat yang mampu diaturgerakkan dalam semua keadaan dengan cekap dan pantas. Justeru, pasukan Infantri Para telah ditubuhkan bagi memenuhi keperluan ini.
Sebagai kor yang tertua di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kor Infantri mempunyai rentetan sejarahnya yang tersendiri. Pada tanggal 1 Mac 1933 bertempat di Port Dickson, Negeri Sembilan, seramai 25 anak watan memulakan latihan rekrut dalam Kompeni Percubaan Askar Melayu yang mana menjadi pengasas terbentuknya Tentera Darat Malaysia sekarang. Di antara yang memainkan peranan utama dalam penubuhan rejimen ini adalah Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhamad Ibni Yam Tuan Antah, Undang Luak Rembau Negeri Sembilan, Dato’ Abdullah bin Dahan, Sultan Perak, Sultan Alang Iskandar Shah dan Raja Di Hilir Perak, Raja Sir Chulan. Dengan berbekalkan semangat keperwiraan, latihan yang intensif serta perancangan yang menyeluruh, skuad ini telah berkembang dengan pesat bagi memenuhi keperluan semasa negara.
Dalam mempertahankan maruah bangsa melayu dan membuktikan keperwiraan anak-anak watan, 2 buah batalion Rejimen Askar Melayu Diraja telah terlibat di dalam Perang Dunia II. Antara pertempuran yang menjadi ingatan dan kebanggaan Kor Infantri adalah Pertempuran Muar. Di dalam pertempuran ini, Lt Ibrahim Al-Dita selaku ketua platun telah membuktikan keberaniannya. Beliau telah dianugerahkan Military Cross bersama dua lagi rakannya iaitu Lt Ismail Babu dan Kpl Yaakob Bidin. Pertempuran Bukit Chandu pada 14 Feb 1942 yang begitu sengit merupakan satu titik tanda sejarah yang membuktikan keperwiraan dan keberanian askar Melayu. Dalam pertempuran ini, Leftenan Adnan Bin Saidi telah sanggup bertahan sehingga ke titisan darah yang terahkir. Beliau telah berjaya membunuh ramai tentera musuh namun ditikam sehingga mati kerana enggan menyerah kalah kepada tentera Jepun.
Ketika ini, 2 batalion RAMD dikhususkan sebagai pasukan payung terjun (Para) ditugaskan menjadi komponen di dalam 10 Briged Para, asas Pasukan Atur Cepat di dalam Angkatan Tentera Malaysia. Dua lagi batalion Rejimen Askar Melayu Diraja dilengkapkan menjadi batalion mekanis dan menbentuk komponen 4 Briged Mekanis di dalam Tentera Darat Malaysia.
BATALION RAMD
1 RAMD - Kuala Lumpur
2 RAMD -Pulau Pinang
3 RAMD -Sabah
4 RAMD -Perak
5 RAMD -Johor
6 RAMD -Kedah
7 RAMD -Sabah
8 RAMD -Pahang
9 RAMD -Melaka
10 RAMD -Johor
11 RAMD -Sarawak
12 RAMD -Pahang
13 RAMD -Sarawak
14 RAMD -Negeri Sembilan
15 RAMD -Negeri Sembilan
16 RAMD -Kelantan
17 RAMD -Melaka
18 RAMD -Kuala Terengganu
19 RAMD -Kedah
20 RAMD -Sarawak
21 RAMD -Kelantan
22 RAMD -Sabah
23 RAMD -Perak
24 RAMD -Negeri Sembilan
25 RAMD -Pahang
Lambang Rejimen yang merupakan Harimau Berjuang dan Mahkota Bersendi Lima berserta Keris Bersilang adalah cetusan idea Maj G. Mel. S. Bruce, Pegawai Memerintah Kompeni Percubaan Askar Melayu yang pertama. Lambang ini telah ditempah di Birmingham, England dan telah diguna pakai mulai tahun 1934. Lambang ini membawa pengertian :
Harimau Berjuang melambangkan kepahlawanan yang gagah berani laksana harimau dan bersedia untuk berkawal disetiap pelusuk negara.
Mahkota Bersendi Lima dan Keris Bersilang melambangkan kedaulatan Raja-Raja Melayu dan agama Islam yang menjadi anutan warganya yang akan sentiasa berpegang teguh kepada lima rukun Islam.
Tulisan Taat Setia (dalam tulisan jawi) yang terdapat pada lambang ini merupakan cogan kata Rejimen yang membawa maksud bahawa warga Rejimen akan terus berpegang teguh kepada perinsip taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Negara, Agama dan Bangsa.
PANJI-PANJI DIRAJA
Panji-panji Yang Di-Pertuan Agong adalah lambang kesetiaan Rejimen kepada Raja yang mempunyai tempat yang lebih tinggi daripada Panji-Panji Rejimen. Upacara Penganugerahannya disempurnakan sendiri oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dalam perbarisan yang penuh dengan adat istiadat dan tradisi ketenteraan.
Upacara penganugerahan Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong kepada RAMD telah di sempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Kedua, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Tuanku Syed Hassan Jamalullai dalam satu perbarisan yang penuh dengan adat istiadat ketenteraan si Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada hari Sabtu 23 Mac 1963.
Penghormatan Perang yang tercatat di Panji-Panji Yang Di-Pertuan Agong Ialah :
Tanah Melayu 1941 - 1942
Singapura 1942
Darurat 1948 - 1960
Congo 1960 - 1963
Konfrantasi 1963 - 1965
Namibia 1989 - 1990
Kemboja 1992 - 1993
Somalia 1993 - 1995
Bosnia Herzegovina 1993 - 1998
LAGU RAMD
“BERBUAT JASA”
ASKAR MELAYU DIRAJA, REJIMEN TERTUA
GAGAH PERKASA, BENTENG NEGARA
HARIMAU BERJUANG, MENJADI LENCANA
TAAT SETIA DAN BERBUAT JASA
ASKAR MELAYU, TAAT SETIA
KAMI RELA BERJUANG DAN BERKOBAN NYAWA
KERIS BERSILANG, SENDI MAHKOTA
PENUH BERAZAM DAN BERSEMANGAT PERWIRA
DI DESA DAN DI KOTA, KE HUTAN BELENTARA
KAMI RELA BERBAKTI UNTUK BANGSA
DI TANAH PERBATASAN, KAMI SIAP SEDIA
MENENTANG SEGALA MUSUH NEGARA
DOA RESTU DIPINTA, MOGA KAMI BERJAYA
BERILAH SEMANGAT CINTA BANGSA NEGARA BAHAGIA
ASKAR MELAYU DIRAJA, BERJUANG PENUH RELA
KAMI PEMBELA BANGSA, UGAMA DAN JUGA NEGARA
..edited by =WRA=