top of page

CATATAN GUBIR : BATON 1..11 WIRA

( Kredit kpd Mjr ( B) Nor Nor Ibrahim Sulaiman)

Pada pagi 26 April 1976, Bilik Operasi TUDM Butterworth telah dikejutkan dengan berita sebuah pesawat helikopter Nuri telah ditembak jatuh di kawasan Operasi Gubir. Pegawai Memerintah Pangkalan TUDM Butterworth, Lt. Kol. (U) Fauzi b Husin telah mengarahkan Kapt (U) Harun membawa beliau meninjau kawasan kemalangan dengan helikopter Aloutte III bernombor FM 1306. Selepas 25 minit penerbangan, pesawat tiba di kawasan kemalangan, lebih kurang 5 minit 'flight time' dari Kem Gubir. Ketika itu masih kelihatan api sedang marak membakar pesawat Nuri tersebut. Pasukan penyelamat Nuri masih belum dapat diturunkan kerana 'crash site' berkedudukan sulit dikelilingi hutan tebal dan lurah dalam.

Apa yg berlaku? Ini adalah secebis kisah dr mata pegawai yg terlibat..diambil dr catatn dalam jottings of x nuri pilot..iaitu Mjr. (B) Nor Ibrahim Sulaiman.

Pada 15 April 1976, Kapt. (U) Harun b Ayob memandu pesawat helikopter Alouette III Gunship bernombor FM 1314 bersama Sjn. Lee untuk gerakan Operasi Gubir. Tugasnya ialah 'escort' helikopter Nuri terbang memasuki kawasan hutan sempadan Malaysia-Thailand yang diduduki oleh pengganas komunis.

Pada 16 April 1976 pra-operasi bermula diwaktu pagi dengan penerbangan tinjauan untuk mencari lokasi kem pengganas oleh Lt. (U) Mohamad Darby Owen dengan helikopter Alouette III. 2 penerbangan di awal pagi itu tidak membuahkan sebarang hasil. Oleh itu, Kapt. (U) Harun b Ayob telah mengambil alih misi ke-3 penerbangan tinjauan tersebut bersama Lt. (U) Mohamad Darby Owen disebelah petang. Setelah menjalankan penerbangan rendah taktikal (tactical low flying) pada lebih kurang jam 1600, beliau berjaya menjumpai kem pengganas tersebut yang terletak di atas satu banjaran bukit - selang banjaran sempadan, dan memberi koordinat yang tepat kepada Markas Operasi Gubir. Sekembalinya ke Markas Operasi Gubir, Kapt. (U) Harun telah memberi taklimat terperinci kepada Pemerintah Operasi Bersama ATM.

Pesawat Allouette yg berjasa menjadi gunship mengiringi Nuri semasa operasi

Pada 17 April 1976 (D-Day), Kapt. (U) Harun telah bertugas memandu helikopter Alouette III Gunship bersama rakan sejawat yang lain iaitu Lt. (U) Khalid b Ali untuk mengiringi helikopter Nuri S61A-4 mengangkut trup Tentera Darat (Rejimen Gerak Khas) ke lokasi memintas laluan bolos (enemy escape route) pengganas komunis beberapa meter di seberang sempadan Malaysia-Thailand, di utara Betong, Thailand. Setelah 'cut off troops' mengambil tempat masing masing, barulah operasi bermula (H-hour) dengan pengeboman 'target' kem komunis oleh pesawat 'ground attack' Jet Tebuan CL 41-G diikuti oleh pesawat Jet Pejuang F 5-E. Operasi berlanjutan hingga ke senja dan beberapa hari selepas itu. Ekoran daripada gerakan tersebut, Penduduk Betong dibawah pengaruh dakyah komunis telah melancarkan tunjuk perasaan besar besaran anti-Malaysia. Peristiwa ini telah menyumbang kepada tekanan pengunduran kepada kehadiran Pasukan Polis Hutan Malaysia di Betong, Thailand ( rujuk kisah 18 vs 300).

Kem komunis tersebut berjaya ditawan dengan kemasukan trup Tentera Darat melalui gerakan 'abseiling' dari atas helikopter Nuri S61A-4 ke atas kem pengganas, tetapi bukan tanpa pengorbanan. Helikopter Nuri pertama yang sampai ke kedudukan 'hovering' telah ditembak oleh sepasukan pengganas sehingga bersarang perut pesawat menyebabkan bahan bakar Avtur bertaburan seperti hujan. Kapten pesawat tersebut telah bertindak pantas mengelak pesawatnya daripada terhempas dan terbang balik ke Kem Gubir dengan selamat.

Walau bagaimanapun, beberapa hari seterusnya dalam Ops tersebut, tidak ada perkembangan yg benar-benar positif. Bom yg digugurkan hanya jatuh sekitar 200 ela daripada kem tersebut (anda masih ingat cerita 18 vs 300 yg ditulis sebelum ini?). Terup serangan yg digugurkan di kawasan itu terutamanya Komando, tersekat pergerakan mereka akibat jerangkap samar dan letupannya. Saban hari, ada saja anggota yg diangkut keluar dengan anggota badan yg putus, cedera ataupun buta. Begitu banyak jerangkap samar yg ada di kawasan itu hingga terup tidak dapat bergerak dan kawasan itu dikenali sebagai Target Bravo.

Nuri yg telah ditembak itu tersadai di sebelah padang di tengah-tengah kem dan krew pembaikan berulang-alik setiap hari dari pengkalan Butterworth untuk membaikinya. Sebelum matahari terbenam, pasukan Artileri akan menembak meriam 105 mm mereka ke arah gunung di belakang kem dan sebuah pesawat Allouette akan terbang menyusuli dengan tembakan ke arah hutannya. Akan kedengaran 2 tembakan – yg pertama apabila tembakan diletupkan daripada meriam itu, diikuti letupan yg lebih besar apabila peluru 20 mm menghentam pokok-pokok dan kelihatan ranting-rating menyembah bumi. Tembakan rutin ini mungkin bertujuan untuk menakutkan haiwan-haiwan liar atau musuh, supaya mereka mampu tidur nyenyak pd malam harinya. Satu hari, tembakan helikopter itu berhenti secara mengejut dan mereka mendarat apabila senjata itu meletup di dalam pesawat dan mencederakan AQM yg juga merupakan penembaknya. Ada juga kejadian di mana kelonsong meriam Artileri telah jatuh di belakang mes pegawai, tapi nasib baiklah ia tidak meletup dan beberapa org pegawai lari keluar dr bilik dengan hanya bertuala.

“Aku berkongsi bilik berpapan lapis itu dengan Kapt. Sulaiman, G3 Briged (Ops) yg nampaknya sangat matang dan berpengalaman. Dia tak kisah aku selalu mengusiknya. Kebelakangan ini walau bagaimanapun, aku lihat dia selalu menyendiri. Aku rasa dia merindui keluarganya yg telah lama ditinggalkan. Di Bilik Ops, Mejar Briged membincangkan satu mesej yg diterima di mana penduduk Siam berdekatan sempadan sedang melakukan protes, di mana mereka mengatakan anggota-anggota kita menceroboh kawasan mereka dan merosakkan tanaman serta anak-anak pokok getah dan pisang semasa kemasukan pasukan di sepanjang sempadan. Beliau bagaimanapun mengenepikan mesej ini kerana mengesyaki ianya adalah kerja mereka yg menyokong pengganas sebenarnya. Ia walau bagaimanapun telah mengakibatkan pasukan Polis Hutan dikeluarkan daripada kawasan operasi.

Hujung minggu itu, Sulaiman kelihatan tersenyum sambil menggalas begnya kerana beliau telah diberikan peluang untuk pulang ke unit untuk cuti sementara. Esok paginya walaubagaimanapun, aku lihat dia sudah kembali tergesa-gesa singgah ke bilik sebelum terus ke “morning prayer”. Ketika sarapan, aku lihat sekumpulan pegawai berjalan keluar daripada bilik Ops ke arah helicopter yg bersedia di tengah padang. Aku cam Sulaiman dan 2 org juruterbang yg selalu bertugas sekali denganku itu semasa bekalan semula. Mereka datang untuk mengambil Nuri yg ditembak, yg telahpun selamat dibaiki itu. Ada 2 org lagi juruterbang yg kelihatan siap berpakaian, tapi ada seorang pegawai lagi yg tak pernah aku lihat sebelum ini.

Selepas mereka berlepas, aku ke blok markas taktikal yg tidak jauh dari situ dan hanya bersantai di koridor. BASO yg baru, Mejar Chin dan pembantunya sedang bercakap dekat bilik radio.

"Mayday Mayday we are being shot at the main Gear Box..".

Aku ingatkan tak ada apa yg luarbiasa, tapi tiba-tiba penjaga radio menyerbu keluar bilik dan segera memaklumkan, "Tuan., ada 2 panggilan Mayday (kecemasan) dari Baton One". Wahab bergegas ke dalam bilik dan mengambil set itu dan cuba menghubungi Nuri itu, yg dipanggil Baton One. Setiap orang dalam bilik itu cuba mengecam sebarang balasan, dan Wahab meneruskan. kali ini memberikan arahan yg takkan aku lupa, "Hello Baton One., kalau tak dapat ke Gubir, sila mendarat di Green Patch.. ulang.. sila mendarat di Green Patch".

Green Patch, adalah nama kod kawasan yg didesignasi sebagai titik pendaratan kecemasan untuk helikopter semasa serangan bom ke atas kem musuh. Mengharapkan pesawat itu hanya mengalami kegagalan radio, mereka menghubungi Mong Gajah bertanyakan sekiranya pesawat itu kelihatan di sana.

Nuri yg dinaiki Sulaiman dan yg lain-lain itu dijadualkan utk penerbangan rutin menghantar air dalam bekas Jerrycan kepada terup yg tersadai itu. Lokasinya terletak di sebuah lembah dengan kawasan yg dipenuhi pokok-pokok tumbang, mungkin akibat daripada pengeboman. Aku pernah ke sana sekali, diterbangkan Kapt. Choo dengan penuh kebolehan dibantu oleh AQMnya, mengelak rotor ekor daripada terkena batang-batang balak yg berselerak dan tercacak keluar. Dia juga berada dalam pesawat ini. Ianya akan menjadi satu bencana sekiranya pesawat itu tidak kelihatan di Gubir atau Mong Gajah dalam 20 minit seterusnya. Bila waktu itu berlalu, Mejar Chin berlari ke arah padang dan mengambil sebuah Allouette . Tak sampai setengah jam kemudian, kami dengar suaranya di radio. "Nampak asap berkepul daripada sempadan dan kami sedang menghampiri.”

Kemudian kami dengar dia berkata sesuatu yg kami berat untuk kami terima, “ sah pesawat kita dan harapan masih ada yang hidup - kosong!”

Komander Briged kemudian datang ke bilik ops itu. Sebaik mendarat, Mejar Chin bergegas ke bilik itu untuk melapor. Beliau bertungkus-lumus cuba mengingat siapa yg berada dalam pesawat malang itu.

Sebelum Target Bravo, pesawat itu telah mendarat dan menurunkan bom mortar di Mong Gajah dan mengambil 3 orang lagi termasuk seorang Leftenan daripada pasukan 3 RAMD yg akan menghadiri kursus, batmannya serta seorang Sarjan dan 2 orang anggota JAPU komando. Semua sekali 12 orang. Kemudian kami dapat tahu yg batman itu telah tertinggal di belakang, menjadikan sebelas perwira negara yang telah gugur, termasuk AQM, 4 juruterbang dan lelaki yg aku tak kenal tu - yg merupakan seorang mejar yg datang dari RBCO Songkla, sebagai pasukan pendahulu untuk bersedia bagi mesyuarat bersama dengan pasukan Thai tentang protes yg dijalankan penduduk Thai.

Mayat pertama yg sampai adalah mayat Sarjan yg tubuhnya masih elok memandangkan dia telah terhumban jauh daripada pesawat yg terbakar itu. Selepas itu mayatnya telah diterbangkan ke Sg Petani utk diuruskan. Selepas itu, bermulalah tugas mengharukan untuk mengenalpasti cebisan-cebisan mayat yg berselerakan. Aku lihat 2 beg mayat ditandakan dengan huruf P menandakan ianya adalah milik juruterbang-juruterbang itu. Mengetahui seorang adalah Melayu dan seorang lagi Cina, aku rasa pasti akan ada masalah mengenalpasti yg mana satu adalah yg mana satu. Begitu juga dengan anggota-anggota tubuh mereka yg lain..sayu melihat cebisan-cebisannya yg dibawa pulang dan kami terpaksa mengambil masa menentukan siapa yg ada."

Kerana insiden, pegawai-pegawai tinggi termasuk Panglima Angkatan Tentera, serta Timbalan Menteri Pertahanan iaitu Dato Mokhtar Hashim telah datang ke kem. Kapt Mohd Isa dari unit Semboyan telah mendirikan diapoles utk membolehkan GOC - Maj Gen Dato Mahmud Sulaiman bercakap terus dengan PM ketika itu.

Wira-wira yg gugur adalah :

1. Lt (U) Chung Ming Teck PTU -10 Skn, Kapten pesawat 2. Lt (U) Wan Munsiff bin Wan Salim KPK - 10 Skn, Co-pilot 3. Sjn Leong Yee Heng PTU -10 Skn, AQM 4. Kapt (U) Choo Yeok Boo PGB -7 Skn (Kapten) 5. Kapt (U) Mustapha Kamal bin Mohamad Shafie KPK -7 Skn (Co-pilot) 6. Mej Haris bin Rejab - MMLO Haadyai 7. Kapt Sulaiman bin Abdullah - 6 Bde 8. Lt Ibrahim bin Zakaria - 3 RAMD 9. Sjn Kamis bin Dolmat - 3 RAMD 10. L/Kpl Kamarulzaman bin Zakaria - X Sqn RGK 11. L/Kpl Suandi bin Saim - X Sqn RGK

Innalillahiwainnailahirojiun..dan RIP kpd yg bukan Muslim. Mereka semua tetap wira kita. Dalam ada di kalangan kita yang lantang bersuara mengatakan pasukan keselamatan kita tak melakukan apa-apa tugas, dalam diam..dalam senyap..dan tanpa dikenang, sebenarnya ramai yg telah menumpahkan darah demi memastikan bumi tercinta ini aman seperti yg kita nikmati pd hari ini...=WRA=


Featured Posts
Recent Posts
Archive
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page