top of page

BUNGA BANGSA...KAPTEN ZAINAL ABDUL RASHID SP ( Post-humous Mejar)

Sekiranya anda menonton teaser filem RAMD yang insyaallah akan ditayangkan pada tahun 2017 nanti, anda akan mendengar nama watak utama yang disebut di dalam kisah itu – KAPTEN ZAINAL RASHID. Siapakah beliau?

Beliau bukan watak fiksyen, sebaliknya adalah individu yang benar-banr wujud dalam lipatan sejarah perjuangan negara kita, dan telah gugur sebagai seorang perwira bangsa. Nombor tentera beliau adalah 410488 dan telah ditauliahkan pada 21 September 1968, daripada Intake 13 TJP. Beliau juga merupakan bekas seorang pelajar Maktab Tentera Diraja yang telah banyak melahirkan sosok-sosok hebat perwira tanahair ini. Ketika gugur, beliau merupakan Ketua Kompeni 'Alpha', 17 RAMD, dan insiden tersebut berlaku berdekatan dengan Sg. Baho, Gubir.

Pagi 15 Julai 1976 itu menyaksikan anggota-anggota Kompeni A berasa sungguh senang hati memandangkan pada hari itu, pesawat Nuri akan tiba untuk menghantar bekalan terdiri daripada rangsum pasukan serta pesanan-pesanan tambahan mereka dan juga berita daripada insan-insan kesayangan yang telah mereka tinggalkan demi tugas. Namun, tanpa diduga, keceriaan pagi itu dipecahkan oleh bunyi tembakan yang datang dari arah tempat anggota mengambil bekalan air. Sebagai ketua pasukan yang sudah lali dengan pertempuran, Kapten Zainal yakin bahawa tembakan itu datangnya daripada musuh.

Maka, tanpa ragu, beliau telah membuat keputusan untuk menyiasat punca tembakan tersebut. Bertemankan 4 orang anggota iaitu :

Kpl. Adnan Pbt. Awang Pbt.Ariffin Pbt. Razali

beliau telah menuju ke lokasi tersebut. Dalam kesenyapan pergerakan mereka, kumpulan tersebut telah berjaya mengesan musuh yang berkekuatan lebih kurang 15 orang. Menggunakan sepenuhnya elemen kejutan yang mereka kuasai, Kapten Zainal telah mengarahkan anggotanya untuk melancarkan serangan pada jam 0845. Tembak-menembak berlaku selama hampir 45 minit sebelum musuh akhirnya melarikan diri. Mereka bernasib baik kerana musuh tidak langsung mengetahui bahawa mereka diserang oleh satu kumpulan kecil wira yang hanya terdiri daripada 5 orang. Namun, siapa sangka. Dalam drama tembak-menembak itu, Kapten Zainal sendiri telah terkorban. Namun, sebelum itu, beliau telah berjaya menumbangkan 4 orang musuh. Dengan penuh sebak, Kpl. Adnan telah kembali ke pangkalan untuk melaporkan insiden tersebut kepada Markas Taktikal – meninggalkan jenazah Kapten Zainal di bawah jagaan Pbt.Awang, Pbt. Ariffin dan Pbt. Razali menjaga jenazah Ketua Kompeni mereka. Saat itu, semangat mereka dibakar oleh kata-kata musuh yang terus-terusan berteriak "Oi, Melayu...lebih baik lu orang serah diri...kalau tidak, kamu semua akan mati".

Kepulangan Kpl. Adnan selepas itu adalah bersama-sama Lt Mohd Yassin yang mengetuai Platun 1 pada jam lebih kurang 1000. turut serta adalah Lt. Abdul Rahman Yat, Ketua Platun 3. namun, kelibat musuh sudah langsung tak kelihatan. Setelah menggeledah, mereka telah menemui 6 mayat musuh – 4 dipercayai telah ditembak oleh Kapten Zainal sendiri, dan 2 lagi oleh anggotanya. Berdasarkan bukti yang ada, kelihatan ramai juga di kalangan musuh yang mengalami kecederaan ketika itu. Selain daripada itu, antara hasil penemuan lain adalah :

1x 60 mm mortar 1x M79 4 x carbine 1 x rifle 0.22 bom tangan patchet

lebih kurang 2 jam kemudian, pasukan tersebut kembali ke kem membawa bersama jenazah arwah Kapt Zainal dan mayat musuh, dan selamat kembali ke kem Gubir pada jam lebih kurang 1545. Kesemuanya telah diangkut keluar oleh 2x pesawat Nuri. Jenazah Kapten Zainal telah disemadikan di kampung kelahirannya – Kampung Matang Kerian, Pantai Remis, Perak. Berita gugurnya bunga bangsa ini telah membuatkan ramai penduduk kampung segera berhimpun di rumah orang tua Allahyarham. Di kalangan penduduk kampung, beliau dikenali sebagai “ Abang Ad” atau “ Saad”. Riuh suasana rumah tersebut pada pagi di mana jenazahnya tiba, dibawa oleh anggota-anggota pasukan lengkap beruniform. Tak henti-henti mereka terpaksa menjawab soalan daripada penduduk ketika itu. Jenazah beliau ditempatkan di khemah di hadapan rumah tersebut sebelum dibawa naik. Menurut mereka, wajah Arwah kelihatan sangat tenang sekali, dan kelihatan seolah tersenyum. Bagi menghargai jasa beliau, Arwah telah dinaikkan ke pangkatMejar secara post-humous pada 1 Januari 1976.

Mejar Zainal Abdul Rashid ( SP)

Gugurnya Arwah seorang isteri, Puan Azizah Binti Ismail dan 2 orang cahaya mata, - Mohd Hazem Shah dan Nurulaini. Siapa sangka, tidak lama selepas itu, iaitu pada pada 3 April 1977, kedua-dua isteri dan anak perempuan Arwah turut pergi menghadap Ilahi bersama-sama seorang anak saudaranya, setelah terbabit dalam satu kemalangan di Jalan Muar-Segamat, Johor yang terletak lebih kurang 10 km dari Bandar Segamat. Aanak lelaki Arwah iaitu Mohd Hazem, yang hanya berusia 3 tahun 7 bulan, meski terselamat, telah menjadi yatim piatu. Beliau kemudian telah dipelihara Datuk dan Opahnya di Pantai Remis. Sebaik memasuki Tingkatan 1, beliau telah mengikut jejak langkah Arwah bapanya dengan melanjutkan pelajaran ke Maktab Tentera Diraja pada tahun 1986. Melalui maklumat terakhir yang diperolehi, beliau telah bertugas di sebuah syarikat IT bersama-sama rakan-rakan sepengajiannya daripada MTD dulu.

Mohd Hazem Shah Zainal EBI Resources Sdn Bhd Business Development Manager 0122008174

Kisah perwira ini pernah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1994 bertajuk Pahlawan Gubir, ditulis oleh Zakaria Salleh...=WRA=

Featured Posts
Recent Posts
Archive
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page