WIRA DAN MISI - Lt. Kol. Basri bin Haji Omar PGB (Bersara)
Beliau dilahirkan pada 22 Mei 1952 di Merbok Kedah mendapat pendidikan awal di negeri Kedah dan bersekolah menengah di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh pada tahun 1970 sebelum melanjutkan pelajaran ke Royal Military College (RMC/ Maktab Tentera Diraja) dan seterusnya ditauliahkan di dalam perkhidmatan ATM pada 14 April 1972 sebagai Pegawai Kejuruteraan di dalam Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan seterusnya mendalami bidang kejuruteraan di Pune, India pada tahun 1981.
Selaku pegawai Askar Jurutera, beliau banyak terbabit di dalam operasi melibatkan penanaman, pembersihan dan pemusnahan bom dan jerangkap samar. Pernah pada musim hujan bulan November dan Disember 1975, beliau dan pasukannya berhadapan cabaran mencabar terlibat di dalam projek penanaman jerangkap samar di perbatasan Malaysia Thai iaitu sepanjang 5 km tanpa henti dalam suasana hujan lebat yang berterusan.
Satu peristiwa yang tidak boleh dilupakan beliau ialah semasa beliau mengetuai Pasukan Jurutera membersihkan jerangkap samar di dalam sebuah terowong yang ditinggalkan oleh pengganas komunis setelah diasak oleh Pasukan Komando Tentera Darat (TD) di sempadan Malaysia-Thai iaitu dalam kawasan Gubir dalam negeri Kedah ( Op Gubir 2). Tindakan itu telah diputuskan kerana sebelum itu, ramai anggota pasukan keselamatan telah menjadi mangsa jerangkap samar dan menyebabkan kecederaan parah atau kematian. Oleh itu, Dato Mahmud, Panglima 2 Divisyen pada masa itu mahukan supaya tempat persembunyian pengganas komunis pula diserang setelah informasi diperolehi daripada anggota musuh yang menyerah diri berkenaan kewujudan satu sistem terowong bawah tanah yg digunakan oleh musuh secara aktif.
Gerakan ini tidak melibatkan askar Infantri biasa, sebaliknya, Pasukan Khas (Komando) telah diaturgerakkan. Pergerakan dari kem Gubir ke kawasan operasi adalah dengan menggunakan helikopter NURI dan mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk ke kawasan sempadan. Kesemua anggota terlibat didaratkan dengan kaedah rapelling dan winching kerana kawasan itu tdak mempunyai tempat pendaratan heli (Landing pad). Komando yang terlibat adalah seramai lebih kurang 60 orang dan Tim Jurutera diaturgerakkan sebagai pembantu untuk membersih jerangkap samar dan membuat landing pad untuk pendaratan heli.
Pada 20 Apr 1976, hanya Lt. M. Meor dan pasukannya saja yang masuk bersama Komando dengan menggunakan 5 buah NURI untuk menyerang namun cubaan pertama kemasukan gagal kerana mereka terlebih dahulu diserang oleh pengganas komunis. Percubaan kedua berjaya kerana NURI diiringi oleh pesawat Allouette yang bertindak sebagai gunships. Semasa proses winching down, pengganas komunis telah memberikan reaksi agresif dari bawah menyebabkan anggota Komando yang turun terpaksa bertempiaran mencari perlindungan untuk bertindak balas. Semasa pihak Komando memberikan tentangan, tiba-tiba saja musuh didapati ‘hilang’.
Pada masa itu lah Sjn. Mat Jantan telah terpijak jerangkap samar dan putus kaki , diikuti Sjn. Husin . Selepas itu Tim Jurutera pula didaratkan untuk membuat pembersihan dan lain-lain tugas yang berkaitan. Lt. M. Mior membuat anggaran bahawa di kawasan itu, terdapat lebih kurang 3,600 jerangkap samar yang tertanam. Oleh kerana jerangkap samar terlalu banyak, Tim Jurutera terpaksa membuat lorong selamat terlebih dahulu untuk membolehkan askar berjalan dan tidur/berehat dengan selamat. Makanan dihantar dari Kem Gubir melalui udara, cuma minuman sahaja yang dibawa oleh setiap individu yang terlibat.
Peristiwa itu bermula pada 22 Apr 1976, di mana Lt. M. Basri tiba di Kem Gubir dari Kem Sangro, Taiping. Pada 23 Apr, beliau telah digerakkan dengan helikopter ke kawasan operasi. Pada petang 24 Apr, mereka telah berjaya memperolehi satu peta yang menunjukkan satu sistem terowong di bawah kem pengganas tersebut. Ini telah menjawab persoalan bagaimana pengganas ‘hilang’ dengan tiba-tiba semasa bertempur dengan Komando pada hari pertama. Difahamkan bahawa terowong tersebut bersambung terus ke negara Thailand. Penemuan sistem terowong yang agak sistematik binaannya itu merupakan penemuan pertama dalam sejarah Tentera Darat Malaysia. Maka, menjadi satu tugas bagi Tim Jurutera untuk membuat penyiasatan dan kajian lanjut ke atas struktur tersebut.
Pada hari pertama proses pembersihan, semuanya berjalan lancar dan pada hari kedua, selaku ketua tim, Lt. M. Basri ingin melihat sendiri bagaimana anak-anak buahnya sedang membuat pembersihan jerangkap samar. Tim Jurutera kedua yang diketuai oleh Lt. Meor pula berada jauh di bahagian hadapan.
Dengan ditemani oleh L/Kpl Abdullah, mereka menuruni 31 anak tangga di dalam terowong tersebut. Ketika itu, Lt. M. Basri ttelah terlihat satu guni beras yang dilipat dan diletakkan di sebelah kiri. Terdetik di hatinya mengesyaki kemungkinan di situ ada suis jerangkap samar yang jika dipijak, pasti akan menghasilkan letupan. Lalu, beliau telah memberi arahan supaya L/Kpl. Abdullah dan yang lain-lain mengikuti rapat di sebelah kanan. Dalam suasana gelap di tempat itu mereka terpaksa menggunakan lampu suluh untuk bergerak.
Sebaik saja Lt. M. Basri melangkah kaki ke sebelah kanan, tiba-tiba satu letupan kuat berlaku. Ia telah mengakibatkan beliau rebah dan senjata yang dibawanya juga terpelanting. Ketika itu, kedengaran suara L/Kpl Abdullah menjerit mengatakan bahawa dia sudah terkena jerangkap samar. Lt. M. Basri mengalami kecederaan di bahagian punggung. Walaupun kelihatan tidak begitu serius, kesakitannya telah membuatkan beliau terpaksa diberi suntikan morfin, manakala pakaiannya koyak rabak dimamah serpihan bahan letupan jerangkap samar.
L/Kpl. Abdullah pula mengalami kederaan parah di bahagian dada. Sememangnya pemasangan jerangkap samar dibuat sebegitu untuk mendapat impak maksima dengan mensasarkan organ penting manusia. Beliau diusung naik keluar dari terowong dalam keadaan parah. Meski cuba diselamatkan, setiba di permukaan, beliau menghembuskan nafas terakhir.
Menurut Lt. Kol. Basri, Allahyarham Abdullah adalah seorang anggota yang baik, patuh kepada perintah dan komited dalam tugas. Apa yang sangat menyedihkan ialah semasa pemergian beliau, isterinya sedang mengandung. Jenazah L/Kpl. Abdullah telah dibawa ke Taiping untuk diuruskan sebelum dibawa ke kampung halamannya di Melaka.
Dalam peristiwa lain, pada 22 Apr 1976 Tpr. Yaacob dari unit Komando GGK telah terkena jerangkap samar dan putus kakinya. Secara kebetulan, Tpr. Yaacob merupakan rakan sedarjah Lt.M. Basri semasa bersekolah di Kedah. Beliau telah di wadkan di hospital Alor Setar. Pak Omar, bapa kepada Lt.M. Basri mendapat kejutan besar apabila datang melawat Yaacob bersama bapanya Pak Hasan. Tidak disangkanya, anaknya juga turut tercedera sama dan diwadkan di situ juga.
Di Hospital Alor Setar, pada 25 Apr, Lt.M. Basri telah dikunjungi oleh Mej. Haris Rejab - pegawai TD yang bertugas di RBCO Songkhla semasa beliau dalam perjalanan balik ke Sungai Petani. Sungguh mengejutkan apabila surat khabar keluaran 27 dan 28 Apr melaporkan tentang NURI kemalangan di kawasan operasi Gubir ditembak Komunis. Mej. Haris adalah antara krew dan penumpang yang telah terkorban. Seorang lagi adalah Lt. Wan Munsif – yang merupakan seorang Pegawai Jurutera yang telah mengambil alih projek Lt.M. Basri di Kelantan, dan selepas itu telah beralih angin menjadi seorang juruterbang TUDM.
* Lt.M. Basri telah dikurniakan Pingat Keberanian PGB pada 2 Jun 1976 di atas jasa dan keberanian beliau semasa menjalankan tugas. Satu perkara yang beliau ingin kongsi dengan generasi sekarang yang masih dalam perkhidmatan khususnya atau semua umat Islam umumnya ialah tentang kewujudan ayat-ayat Al-quran yang tertentu yang jika diamalkan dengan betul, boleh menjadi ‘penyelamat’ kepada kita daripada ditimpa kecelakaan yang lebih besar dalam sesuatu kejadian, dengan izin Allah.
** Dalam operasi tersebut, Sjn. Mat Jantan telah putus kakinya akibat jerangkap samar. Beliau merupakan orang pertama yang terkena JS semasa serangan, diikuti oleh En Hussin Mahbib dan En Yaacob Hassan (Tangan) ketika cuba mematikan satu JS
Sumber : Laporan akhbar dan kisah diceritakan sendiri oleh En. Roslan Abdullah, bekas anggota GGK yg terlibat operasi kepada penulis….=WRA=