WIRA DAN MISI - Yaacob Kudung
Operasi Gubir 2 adalah antara sekian banyak operasi yang berlangsung di sepanjang era Insurgensi (1968-1989) yg menyaksikan ramai anak bangsa menumpahkan darah demi pertiwi. Ada yg kehilangan nyawa, malah tak kurang juga yg kehilangan anggota. Setiap kali melangkah keluar untuk operasi, anggota keluarga masing-masing harus bersedia menerima perkhabaran buruk melibatkan insan kesayangan ereka di perbatasan sana.
Antara yg menerima nasib sebegitu adalah En. Yaacob Hassan – lebih dikenali kini sebagai Yaacob Kudung. Siapa sangka lelaki yg kelihatan biasa dan adakalanya dipandang rendah kerana kecacatannya ini, sebenarnya menyimpan cerita pembabitan beliau di dalam salah satu tempoh paling berdarah negara ini. Insiden yg berlalu itu takkan sekali mampu diulang kembali, dan tangan beliau yg sudah hilang, takkan mungkin diperolehinya kembali. Namun, rasa hormat dan terima kasih kepada beliau adalah sesuatu yang boleh kini berikan semula ke atas jasa beliau.
Beliau telah dilahirkan di Kampung Manggol Kambing, Pendang, Kedah pd tahun 1952 dan menginjakkan kaki ke Pusat latihan Rekrut pada tahun 1970 ketika berusia hanya 18 tahun. Di dalam era di mana ramai ibubapa yg kurang setuju anak lelaki mereka menyertai pasukan keselamatan, Yaacob sebaliknya mendapat galakan penuh kedua orang tuanya. Ini ditambah lagi oleh minatnya terhadap dunia ketenteraan sejak zaman kecilnya. Unit pertama yg dipijak oleh En. Yaacob adalah 10 Rejimen Askar Melayu Diraja, sebelum beliau berjaya lulus latihan asas komando dan diserapkan ke unit 21 Rejimen Gerakhas di Kem Sg. Udang, Melaka. Di usia yg boleh dikatakan muda itu, beliau telah terlibat dengan 20 operasi – 3 daripadanya melibatkan pertembungan dengan pihak musuh.
Insiden yg telah mengakibatkan kecederaan pada dirinya berlaku semasa Gerakan Gubir 2, di sempadan negeri Kedah-Thailand dan merupakan antara titik paling hitam dan panas di sepanjang zaman Insurgensi, memandangkan ia dijadikan laluan utama musuh melarikan diri melepasi sempadan setiap kali diburu oleh pasukan keselamatan negara. Ketika Operasi/ Gerakan itu digerakkan, terdapat beberapa objektif yg disasarkan. Pertama, ia ditujukan untuk menjejak menyerang kem besar musuh yg dikatakan terletak di kawasan tersebut, di mana kekuatan musuh yg tertumpu dikatakan mencecah 1000 orang. Kem tersebut sememangnya sebuah kem yg lengkap – siap dengan pentas opera untuk persembahan serta gelanggang bola keranjang dan mini stesen untuk siaran radio. Kedua, di sekitar kawasan kem ini, dikatakan terdapat laluan rahsia yg membolehkan musuh mengghaibkan diri dgn pantas setiap kali selepas menyerang pasukan keselamatan kita. Ketiga, tumpuan jerangkap samar yg begitu banyak di sekitar kawasan tersebut telah mengakibatkan kehilangan yg tidak terkira di kalangan anggota keselamatan.
Pada pagi 21 April 1975 itu, menurut En. Yaacob, pesawat F5E telah melancarkan serangan bom dari udara bertujuan untuk melemah serta mengucar-ngacirkan pertahanan musuh. Ketika musuh kelam-kabut melarikan diri selepas serangan itu, 3 helikopter Nuri diaturgerak untuk membawa mereka yg terlibat dengan gerakan itu bagi memasuki kawasan. Namun, tanpa disangka, musuh tidak berdiam diri. Dengan segera mereka telah mengatur kembali kedudukan – membuatkan usaha mendaratkan pesawat tidak dapat diteruskan dan anggota terpaksa diturunkan dengan menggunakan kaedah winching dan rapelling, di sebalik hujan peluru yg bersimpang-siur akibat tembakan musuh dari segenap arah.
Kumpulan anggota pertama yg berjaya mendarat dengan selamat telah mengambil tugas memberikan tembakan balas ke arah kumpulan musuh. Tugas mereka adalah melindungi anggota-anggota lain yg sedang turun, serta pesawat yg sedang berada dalam kedudukan terapung itu. Ia bukan satu tugas mudah, memandangkan ketika itu kekuatan pasukan berada pada kadar sekitar 60 orang, sementara musuh pula dianggarkan lebih 200 orang. Hampir sejam tembak-menembak berlaku, sehingga tiba-tiba musuh ghaib begitu saja tanpa dapat dikesan. Tanpa membuang masa memikirkan ke mana mereka telah pergi, pasukan lebih menumpukan oerhatian kepada memastikan setiap anggota berada di situ dalam keadaan selamat.
Walaubagaimanapun, lebih banyak kejutan menanti mereka rupanya. Belum beberapa lama mengeledah kawasan, mereka telah dikejutkan lagi – kali ini oleh letupan jerangkap samar. Letupan pertama telah mencederakan Staf Sarjan ( Ssjn. )Ahmad Jantan diikuti Trooper ( Tpr.) Hussin Mahbib – kedua-duanya mengalami kecederaan yg telah memutuskan kaki mereka. Melihat kepada keadaan, ternyata kawasan itu berselirat dengan jerangkap samar- hampir 7000 pd anggaran mereka. Disebabkan insiden itu, pesawat Nuri terpaksa dipanggil semula untuk mengangkut keluar (medivac) segera anggota-anggota yg tercedera itu. En. Yaacob telah ditugaskan membersihkan lorong yg akan digunakan bagi membawa mereka ke kawasan di mana pesawat akan mendarat dan mengangkut mereka.
Ketika melalui lorong tersebut, beliau terlah terjumpa empat butir jerangkap samar dan dengan kemahiran yg ada, telah berjaya mematikan kesemuanya. Apabila menghampiri kawasan lapang di bawah bukit, beliau menemui sebutir lagi jerangkap samar jenis baru yang menggunakan bom tangan buatan Czechoslovakia. Ketika beliau menghampirinya dengan pisau di tangan untuk mematikannya, alat tersebut tiba-tiba mengeluarkan asap dan terus meletup. 3 meter yaacob tercampak - tangan kanannya putus dan hancur manakala sebahagian tapak tangan kirinya turut mengalami nasib sama. Kening dan tepi dagu juga terkoyak. Mata kirinya menjadi rabun sehingga sekarang. Namun, mungkin disebabkan adrenalin, tubuhnya hanya mengalami kebas . Kesakitan hanya mula menjalar setibanya beliau di hospital. Selama 6 bulan, beliau selepas itu terpaksa menerima rawatan dan pemulihan di tiga buah hospital tentera.
Selepas bersara pada 1990, Yaacob menetap di Tanjung Keling, Melaka dan meneruskan kehidupannya sebagai tukang kayu bersama isterinya, Fatimah Salleh dan sembilan orang anak . Kini, beliau sudah semakin uzur. Kata beliau “ Inilah bukti pengorbanan saya untuk agama, bangsa dan negara. Malah, perkataan menyesal tidak harus ada pada mana-mana anggota RGK.Kerana itulah saya terus menggalakkan anak agar mengikut jejak saya dan hasilnya, kini anak nombor tiga telah pun berkhidmat sebagai anggota tentera darat. Pada zaman kami tiada insurans kelompok dan faedah lain seperti mana yang diperoleh askar masa kini. Ketika saya mendapat kecederaan tersebut, kerajaan cuma membayar pampasan sebanyak RM2,000 sahaja. Ia berbeza dengan sekarang. Saya cuma memperoleh pencen sebanyak RM820 serta bayaran elaun perubatan di atas kecacatan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM1,400 sebulan.Saya harap kerajaan dapat mempertimbangkan supaya bayaran elaun perubatan yang diberi dapat dimasukkan sekali dalam skim pencen disebabkan sekiranya meninggal dunia isteri saya mendapat jumlah yang lebih besar dan bukannya RM820.Sekiranya, kerajaan dapat memberikan bayaran pampasan khas lagi bagus, tetapi sekiranya tidak itu sahaja yang saya pinta kerana bekas askar yang mengalami kecacatan ketika era komunis seperti saya tidak ramai lagi disebabkan kebanyakannya sudah meninggal dunia”….=WRA=