CATATAN GUBIR BHGN 2– 18 VS 300
1 Mei 1976- Selepas terowong komunis itu telah diletupkan, tanpa membuang masa, kami telah berundur ke kawasan di mana kami akan dikeluarkan. Dengan jangkaaan bahawa kami akan selamat setelah berundur dr kawasanhutan di mana terletaknya terowong tadi, kami bergerak ke pinggur sebuah ladang getah yang tanpa sedar, rupanya sudah terletak di kawasan Siam. Masing-masing sudah bersdia dan teruja untuk keluar drpd kawasan operasi. Seakan terbayang makanan enak yang akan menyambut kami nanti, meskipun hanya nasi dan gulai kawah yang disediakan oleh cookhouse. Tekak ni dah terasa kembang sebab asyik ditogok dengan makanan rangsum. Nak pulak makanan terpaksa dicatu. Maka masing-masing mula berkira-kira hendak makan macam-macam. Sampai di situ, kami menanti pesawat yang akan membawa kami keluar. Kol. Aziz mengeluarkan arahan. Kami dibenarkan untuk berehat dan makan sikit sementara menanti. Tapi, siapa yang siap dulu, nanti bila pesawat sampai, jalan dulu. Tebang beberapa batang pokok getah untuk dibuat tapak bagi pendaratan pesawat. Maka, adalah di antara kami yang mula mengeluarkan saki-baki makanan yang ada untuk dihabiskan.
Kawasan operasi di Gubir
Tapi, apa yang berlaku sesungguhnya tak dijangka langsung oleh kami. Rupanya, tanpa sedar, kami sebenarnya telah dikepung oleh musuh yang dikhuatiri berkekuatan hampir 300 orang. Sebaik saja pesawat mendarat, mereka mula menyerang. Segalanya berselerak apabila kami dengan pantas mencari perlindungan. Yang tak sempat makan tu, nasiblah. Sambil membalas tembakan, kami melakukan pengunduran bagi menghampiri pesawat. Yang sempat naik pesawat dalam keadaan tergesa-gesa dikira bernasib baiklah. Itupun, jenuh menahan nafas memandangkan pesawat turut menjadi sasaran tembakan.
Tanpa sedar, dalam berundur, kami sampai ke gigi ladang getah itu. Rupa-rupanya, di sebalik gigi ladang itu, adalah ladang ganja yang berada dalam kawasan yang dikategorikan sebagai “ no man's land”. Berulang kali pesawat yang datang berhadapan dengan tembakan tanpa henti daripada musuh. Kami yang beum sempat menaiki pesawat, mengambil kedudukan untuk memberikan perlindungan buat kawan-kawan kami yang sempat menaiki pesawat yang datang. Memang huru- hara keadaannya masa tu. ( Drpd. apa yg difahamkan kpd kami kemudian, insiden tersebut telah digunakan oleh pihak tertentu bagi mencetus rasa tidak puas hati di kalangan penduduk Thailand, mengatakan pasukan keselamatan telah menceroboh tanah Thailand. Ia telah menyebabkan penduduk melakukan satu perarakan menggesa pasukan keselamatan Malaysia dikeluarkan drpd kawasan Thailand. Pasukan Polis Hutan adalah antara yg. menjadi mangsa dihalau keluar).
Satu persatu pesawat datang untuk mengambil anggota yg. ada, mesi dihujani tembakan. Akhirnya, tibalah giliran kami. Pesawat hari itu diterbangkan oleh Lt, (U) Murad. Ketika helikopter menghampiri extraction point untuk mengeluarkan baki kami 18 anggota komando, ia sekali lagi telah ditembak bertalu-talu oleh pengganas komunis. Berterabur Avtur (minyak pesawat) akibat tembakan tersebut. Tapi dengarnya, dlm keadaan nazak sebegitu mereka selamat mendarat di Gubir. Akibatnya, extraction tidak dapat dilakukan dan kami yang tertinggal terpaksa melakukan rendezvous (bertemu dengan sekumpulan komando berdekatan dengan landing point) untuk keluar daripada kawasan musuh. Ketika itu, hari sudah mulai gelap. Jam pun dah lebih kurang 1830 ( 6.30 petang). Kami terpaksa menyorok dan bergerak keluar dari landing point tersebut.
Kem Gubir dan pesawat Nuri
Malam itu, tinggallah kami 18 anggota komando diketuai oleh Lt. M. Aziz Rashid. Beliau menganggarkan sejumlah 60 pengganas komunis (PK) telah mengepung kawasan di mana kami berada tu. Lokasi tu penuh dgn anak-anak pokok getah yg baru ditanam. Bila hari semakin gelap, geng PGK (pengganas) datang dengan lori dan menjadikan malam tu macam satu pesta. Sambut Hari Pekerja agaknya. Seronok sungguh mereka sehingga selamba tanpa takut menyuluh lampu picit ke sana sini. Tn. Aziz memecahkan kami kepada 3 kumpulan dan diarah menduduki 3 lokasi (lihat lakaran). Seorang sentri ditempatkan di antara setiap kedudukan. Arahan beliau ..jangan tembak melainkan kehadiran PGK sangat jelas. Ini disebabkan kami memang sedang kekurangan peluru. Sekali tembakan terlepas..maka sah-sahlah akan berlaku berbalas tembakan..dan nampak sangat musuh mempunyai kelebihan drpd. segi jumlah anggota dan kekuatan tembakan. Tindakan itu akan mengundang padah kepada kami pastinya.
Maka, malam itu bersengkang matalah kami semua. Jantung berdebar macam dram perang. Rasa gelisah bercampur dgn adrenalin..membuatkan walaupun kami diarahkan mengurangkan pergerakan bagi mengelakkan musuh mengesan kedudukan kami, aku sekejap-sekejap berkalih. Terasa kebas pulak bahagian-bahagian badan. Kekeringan musim yg panas itu menambah kepada ketakselesaan yg ada. Namun mengenangkan nyawa di hujung senjata, aku bisikkan pd diriku sendiri..sabar. Bau hanyir darah rakan-rakan yg terkorban nyawa dan hilang anggota badan masih segar di hidung. Masih terbayang-bayang darah yg keluar membuak-buak itu..nafas yg dihela di hujung hayat…rintihan rakan yg kesakitan meraung meminta bantuan dan hanya mampu disenyapkan dengan suntikan morfin..semua itu membuatkan aku tersedu. Apakah ini pengakhirannya buat kami? Terbayang-bayang wajah anggota keluarga masing-masing, dan aku pasti yg lain-lain pun begitu juga.Pasti ada yg teringat anak isteri, tunang, mak ayah..malah tak kurang yg membayangkan wajah anak dalam kandungan orang rumah..apakah sempat menatap wajah ayahnya nanti?
Sejak berlalunya helikopter tadi, aku perasan yg di antara kami berlapan belas, hanya tuan saja yg bercakap banyak. Itupun mungkin kerana beliau terpaksa memberikan arahan dan sebagainya. Yg lain-lain lebih banyak memilih utk menyepikan diri - mungkin melayan debar di hati..atau memikirkan tindakan seterusnya..atau memikirkan apa yg bakal berlaku…
Perutku mula berkeriut. Makanan terakhir yg menjamah perutku hanya nasi berlauk sardin tengahari tadi.Makanan pn dah makin kurang.Yg tinggal hanyalah saki baki biskut dan teh. Kami fikirkan kami bakal keluar hari ni..jd rangsum tak dihantar. Tak sangka pulak mcm ni jadinya..terpaksalah bertahan nampaknya. Makanan yang dimasak tadi pun tak sempat dimakan, setelah kami diserang mengejut pihak musuh.
Anehnya...PGK itu tidak mengambil sebarang tindakan meski tahu kami berada dalam kepungan mereka. Aku sempat mendengar tuan menghubungi 'Z' skuadron yang beroperasi di kawasan Gubir untuk memaklumkan keadaan di lokasi. Kedengaran suara beliau berbisik-bisik, dan hujung gagang radio ditutup dengan kain bagi mengurangkan bunyi statik. Beliau dimaklumkan yang Nuri tidak akan dapat mengambil kami keesokan hari kerana lokasinya tidak selamat. Seterusnya, beliau diarahkan untuk mengetuai kami untuk RV dengan satu kumpulan rakan yang ditugaskan untuk 'menyelamatkan' kami di satu lokasi di kawasan Malaysia, berhampiran dengan satu LP.
Menanti ketaktentuan sebegitu adalah sesuatu yg amat meresahkan. Jari di hujung trigger seakan2 berbisik..tarik je aku bila ada peluang.. bila melihat kelibat musuh yg berpesta dengan lampu suluh mereka itu. Peluh pula meleleh dr dahi turun ke wajah..menaikkan rasa rimas. Di kepala..seakan-akan terdengar suara berkata..balas dendam untuk rakan-rakan kau.Manusia-manusia di depan kau ni dah bertanggungjawab menyebabkan rakan-rakan kau rebah dan gugur. Semuanya..berbaur dgn teriakan ungka dr kejauhan serta bunyi unggas malam yg berselerakan membuatkan sampai satu tahap..aku hampir-hampir saja menarik picu itu. Tepukan perlahan di bahu menyebabkan aku kembali ke realiti dan beristighfar panjang. Perlahan-lahan rakanku membisikkan arahan tuan ke telingaku. Kami akan mengambil giliran berjaga dan berehat tanpa kehilangan sikap waspada. Bersama-sama buddy masing-masing kami akan bergilir berjaga dan berehat tanpa menimbulkan sebarang pergerakan yg menimbulkan syak. Rakanku memberikan isyarat dia akan mengambil giliran berjaga dulu. Perlahan-lahan aku mengengsot ke banir pokok dan bersandar kepadanya. Namun senjata terus juga berada dalam dakapanku. Aku menolak jungle hat ke belakang dan mataku mendongak ke langit..melihat butiran bintang yg bertaburan di dadanya. Ya Tuhan.,.semoga rakan-rakanku yg cedera itu selamat. Semoga kau rahmati roh yg telah gugur..dan semoga Kau selamatkan kami di sini…doaku dalam hati. Terasa payau mulutku yg sudah seharian suntuk tak merasa rokok. Kalau ikutkan hati..nak saja aku nyalakan sebatang..tapi keadaan tak membenarkan aku berbuat begitu. Asap sebatang rokok mampu mengembara sejauh 4 km dlm hutan sebegini..cukup utk memberitahu musuh di mana kedudukan sebenar kami. Dan mengenang rakan-rakan yg ada bersama aku tika itu..tak rela dan tak sanggup rasanya aku menjadi penyebab rakan-rakanku berdepan masalah..hanya kerana aku seorang tak mampu mengawal tekanan yg aku hadapi. Begitulah keadaannya berterusan sepanjang malam itu..hinggalah sampai subuh datang menjenguk.
2 Mei 1976 - ..Hari ke-2. Kedinginan pagi meresap melalui pakaian kami yg sedia lembab dek embun yg turun sejak dinihari. Bergilir - gilir kami solat subuh dlm keadaan darurat..seperti yg pernah diajarkan ustaz pasukan. Diterima atau tidak..itu bukan persoalannya. Biarlah orang nak kata apapun. Ibadat kami adalah utk dinilai oleh Tuhan..bukan oleh manusia. Tidak lupa kami panjatkan doa supaya kami akan diberikan tekad dan kekuatan untuk menghadapi musuh-musuh ini..dan semoga kami dapat pulang ke pangkuan insan-insan kesayangan kami. Namun jika sudah sampai ajal kami,biarlah kami mati dalam keadaan berjuang, bukan dalam keadaan membocorkan rahsia pasukan yg mampu menggugat keselamatan rakan-rakan kami, atau dalam keadaan kami menjadi petualang kepada tanah air kami. Bekalan air minum dah habis. Embun yg terkumpul di hujung dedaun dan rumput kami ambil buat membasah tekak. Jadilah..walau tak seberapa. Makanan jangan ceritalah. Yg ada hanyalah biskut anjing atau biskut keras yg masih berbaki beberapa keping. Masuk ke tekak..rasanya macam makan kadbod, tapi cukuplah untuk mengisi perut dan memberikan kami tenaga yg akan kami perlukan nanti.
Dari set radio, kami mendapat tahu yg Markas Taktikal di Gubir telah menghantar 2 pesawat Alouette sebagai 'gunships' ke lokasi kami pagi itu. Sebelum bateri set radio 'mati', Tuan Aziz yg mengenali pilot gunship itu, telah mengarah Lt. (U) Khalid Ali untuk menembak kawasan tertentu. “ Hang bantai cukup-cukup buddy “..aku terdengar kata-katanya sebelum set radio itu terus senyap.
Maka apa lagi...hujan peluru pun turun. Aku rasa Lt. (U)Khalid telah menghabiskan lebih daripada 200 butir 20mm HE ( high explosives). Kami merengkok dan menutup kepala dengan tangan bagi mengelakkan tembakan atau serpihan dr pokok-pokok yg ditembak mengenai kami. Setelah gunships itu beredar, Tuan Aziz mengarahkan kami meninggalkan lokasi tanpa sebarang sarapan kerana kami sudah kehabisan makanan. Apa lagi yg ada? Air dah habis..nasi lagilah tak ada. Dengan menguatkan semangat, kami melangkah. Kalau orang biasa..mungkin dah ada yg merungut atau menangis. Tapi, kami sudah diajar dan dilatih utk melalui perkara sebegini.
Kami tidak mengambil jalan mudah dengan mengikut 'track' yang sedia ada kerana kami syak ia mungkin telah dipasang dengan jerangkap samar dan musuh mungkin juga berada dalam kedudukan sedia untuk menyerang hendap. Sebaliknya, kami bergerak berpandukan arah kompas. Sepanjang perjalanan, kami memasang telinga dan mata. Langkah kami menjadi perlahan kerana kami memerhati setiap arah bagi memastikan jika ada sebarang tanda kehadiran musuh atau jerangkap samar. kami tidak mampu lagi kehilangan mana-mana anggota. Sekiranya berlaku sesuatu, pasti sukar kami mendapatkan bantuan utk mengeluarkan anggota yg cedera. Silap-silap, ada yg hilang nyawa sementara menunggu bantuan tiba. Walaupun tak nampak kelibat musuh, kami pasti, mereka akan menembak bertalu-talu ke arah pesawat sekiranya ia datang bagi membantu kami. Lebih kurang sejam berjalan, kami terjumpa 'kem' PGK yang ditinggal secara tergesa-gesa. Masih ada periuk, makanan, sebilah pisau dan dokumen yang disahkan kepunyaan Ketua Pasukan Penyerang (Assault Force) itu. Semuanya berselerak. Kemungkinan mereka melarikan diri akibat tembakan gunships tadi. Walaupun perut kami dalam keadaan lapar akibat tidak makan, apa yg ada kami tak sentuh atau usik. Tak mustahil makanan itu ditabur racun sebelum mereka melarikan diri.
Setelah Tuan Aziz dan Sarjan pasukan membuat pemerhatian ke atas kem itu dan mengambil inventori, kami meneruskan perjalanan. Berjalan di dalam hutan setebal Gubir, keadaannya tak semudah disangka. Walaupun banyak pokok dan suasananya redup, kadar kelembapan yg tinggi membuatkan kami cepat berpeluh dan kehilangan cecair. Tekak yg kering semakin perit..apatah lagi bekalan air minum kami sudah kehabisan. Namun kami sudah biasa. Latihan kami sudah mempersediakan kami dengan apa yg bakal kami hadapi ini. Tekad..semangat dan ingatan mahu pulang ke pangkuan insan-insan tersayang memberikan kekuatan kepada kami. Ditambah pula bisikan semangat rakan-rakan, menyebabkan kami gagah melangkah walau apa halangannya. “ Sabar buddy..kuatkan semangat”..itu di antaranya. Hanya itu yg kami ada saat itu - senjata kami, rakan-rakan kami, dan ketua kami. Dan kami bertanggungjawab ke atas satu sama lain...
Bila hari semakin gelap, kami sedar yg kumpulan PGK itu sentiasa mengekori kami tetapi tidak menyerang atau membuat serang hendap seperti jangkaan kami. Bila malam menjelma, Tuan Aziz memerintahkan kami membuat 'rumah batu' (menggantung 'hammock'). Memang terkejut kami mendengar arahan itu. Dalam keadaan getir sebegini masih fikirkan keselesaan untuk tidur? Biar betul tuan ni?, bisik hatiku. Ini kerana, sebarang pergerakan ketika berada di atas hammock akan mengeluarkan bunyi. Sudah pasti keadaan ini memudahkan PK mengesan kedudukan kami. Kebiasaannya, kami warga komando hanya tidur berhamparkan ponco di atas tanah. Buat beberapa ketika kami hanya berpandangan antara satu sama lain. Tapi bila Tuan Aziz menjegilkan mata, kami pun tak ada pilihan dan menurut arahannya. Mungkin ada strategi tertentu yg dirancang tuan..kata rakanku.
Memang betul rupanya. Ini hanya 'umpan'. Tuan Aziz mengarahkan kami meninggalkan 'Jungtel' (jungle hotel) itu dan bergerak ke lokasi di atas bukit berhampiran untuk mengatur serang hendap. Seperti sebelumnya, arahan beliau adalah jangan tembak melainkan kewujudan PGK dipastikan. Menurutnya, PGK akan pasang lampu picit yang diikat di penghujung kayu. Mereka akan menyuluh ke arah atas dengan andaian anggota komando akan termakan umpan dan seterusnya akan menembak ke arah cahaya tersebut. Barulah aku faham. Maklumlah..aku sendiri pun masih baru dalam pasukan. Banyak ilmu yg masih perlu aku kaut.
Pada malam itu, memang seperti yang dijangkakan. Kami melihat melihat cahaya dihala ke arah 'atas' di mana kami berada. Alhamdulillah, dengan apa yg telah diberitahu oleh Tuan, kami patuh pada arahan dan tidak termakan umpan tersebut. Kalau tidak, pasti akan berlaku pertempuran besar malam itu. Pasti geng PGK tu tertanya-tanya..kenapa kami tak bertindak. Rasa puas juga melihat mereka berjaya diperbodohkan kembali. Sepanjang malam itu., sama seperti malam sebelumnya, kami hanya menunggu dalam keadaan waspada. Teringat aku satu falsafah lama yg aku belajar. Dalam peperangan, kita harus menilai kekuatan kita. Kalau ternyata kita berada dalam kedudukan yg kurang mendapat manfaat, jangan serang. Sebaliknya, gunakan tipu daya untuk mengelirukan musuh. Ternyata malam itu, yg terkeliru adalah musuh itu sendiri.
3 Mei 1976 – Macam tak percaya, ianya dah masuk hari ke-3. Seperti malam sebelumnya, kami mengambil giliran berjaga. Walaupun tahu musuh berada di keliling kami, selagi mereka tidak melakukan apa-apa, kami juga harus praktikal. Sudah beberapa hari kami tidak makan. Air minuman kami kekurangan dan hanya bergantung kpd apa yg ada di sekeliling kami, dan kami sudah jauh berjalan. Jika ditambah dengan rehat yg tidak cukup, berkemungkinan kami tidak mampu memberikan reaksi yg perlu bila musuh mula mengambil tindakan. Mungkin itulah yg mereka cuba lakukan - membunuh kami perlahan-lahan. Mungkin mereka mahu kami menjadi putuis asa, lemah semngat dan benar-benar keletihan, kemudian mengambil peluang meratah kami hidup-hidup, kerana mereka tahu. Dalam keadaan masih mampu, sekiranya kami diserang, kami akan berjuang mati-matian, walaupun hakikatnya jumlah mereka lebih besar.
Ketika matahari bangkit pagi itu, tanpa sedar aku terlelap di pokok yg menjadi tempat sandarku. Rakanku yg mengambil giliran berjaga menggoncangkan badanku perlahan. “ Buddy..bangun.” Terbiasa dengan latihan, aku tak perlu digoncang lebih drpd sekali untuk disedarkan. Setelah semua anggota dipastikan cukup jumlahnya dan dalam keadaan selamat, Tuan mengarahkan kami bersama dengannya turun ke Jungtel yg ditinggalkan itu. Betul jangkaan Tuan. Kem itu telah dicerobohi oleh PGK! Penuh kesan tapak kaki di kawasan kem itu dan kalau menengok dari jumlahnya, mau ada lebih kurang 40 PGK. Nasiblah kami tak bermalam di situ. Kalau tidak, bayangkanlah apa yg berlaku. Silap- silap ada yg mati ditikam begitu saja.
Selepas mengemaskan barang-barang yg digunakan di jungtel itu, kami meneruskan perjalanan menuju ke RV. Sama macam hari sebelumnya, masa yg diambil adalah agak lama untuk kami sampai ke destinasi, kerana kami berada dalam keadaan yg penuh waspada. Berjaga-jaga dengan musuh satu hal. Berjaga-jaga dengan jerangkap samar lagi satu hal. Tapi syukurlah, di sepanjang jalan, ada juga kami berjumpa akar terjuntai yg daripadanya kami berjaya dapatkan seteguk dua minuman buat menghilang haus. Walaupun payau rasanya, akar itu menjadi penyambung kepada survival kami. Ada juga beberapa jenis daun yg dapat dikunyah bagi menghilangkan sedikit rasa lapar yg menyerang perut. Salah seorg anggota lama menunjukkan bagaimana dauh itu boleh didoakan dengan ayat suci, dan kemudian digunakan utk menghilangkan rasa lapar itu. Begitu bermanfaat ilmu yg kami timba selama ini,walaupun ramai yg mempertikaikannya. Dalam keadaan macam tu…mana nak sempat memburu pelanduk atau kijang buat santapan. malah binatang pun lari bila tercium bau manusia.
Sampai di sempadan Malaysia/Thailand, tiba-tiba kami diarahkan berhenti. Masing-masing melompat mencari perlindungan dan bersedia untuk pertembungan. Rupa-rupanya terdapat lakaran JS yang dilekat di beberapa batang pokok. Mungkin ia dilakukan dengan tujuan untuk menakut-nakutkan kami. Dalam keadaan lapar, ada kemungkinan kami akan menjadi keliru dan takut meneruskan perjalanan. Silap-silap, mati kering kami di sini. Agaknya itulah niat musuh. Jadi bagaimana?Nak dibuat tak peduli, manalah tau kalau-kalau betul ada JS. Nak dipeduli, ianya mungkin tipu helah yg akan melambatkan perjalanan kami.
Mujurlah Tuan Aziz mendapat idea. Beliau mengarahkan tiga 'haversack' diikat dengan tali dan dilontar ke arah yang akan kami lalui. Kemudian haversack tersebut ditarik. Sekiranya terdapat JS, ianya akan meletup tetapi tidak akan mengenai kami. Nak lebih yakin, kami gunakan pula sebatang kayu untuk menunjal tanah di sepanjang laluan bagi menentukan laluan tersebut selamat.
Begitulah kami ulang-ulang. Baling haversack..tarik. Atur langkah..sambil tunjah tanah dengan kayu, lepa itu, baling lagi. Walaupun mengambil masa yg lama, dalam tak sedar akhirnya kami tiba di lokasi RV. Di sana, kami disambut satu pasukan warga komando drpd 'Y' skuadron yang diketuai oleh Lt. M. Rajasaikaran yg sedia menunggu, dan yg lebih baik, ada nasi dan lauk! Hidung kami disapa bau harum ayam masak kurma dan rendang daging pek ransum. Kalau dalam keadaan biasa, kami mungkin dah tak hairan. Tapi saat itu, itulah bau yg paling sedap pernah aku cium. Masing-masing meluru. Aku tak dapat gambarkan bagaimana manisnya rasa air kosong yg menujah tekak ni..setelah berhari-hari menelan air akar yg payau dan air embun yg hanya secubit. Ada yg menerpa ke arah rakan-rakan yg ada bekalan rokok terlebih dulu. Ada pula yg terus duduk bersila menghadap makanan.
Lt. M. Rajasaikaran
Alhamdulillah..perkataan itu yg aku dengar diulang-ulang di sekitar kem sementara itu. Senyuman dan tepukan bahu drpd rakan-rakan menyegarkan kembali semangat kami yg sudah makin sirna sejak beberapa hari lalu. Dalam keriuhan, aku terdengar Tuan Aziz berkata, inilah buat pertama kali beliau habis makan 1 'mess tin' nasi kerana terlalu lapar. Seterusnya, kami diiringi menuju ke LP. Mendengar kibasan rotor Nuri kali ini merupakan lagu paling indah pernah aku dengar. Dalam sedikit termangu, aku jadi terkesima mengenangkan bagaimana kami boleh selamat setelah apa yg kami lalui itu. Rupa-rupanya, sepanjang beberapa hari kami lalui itu, kami sebenarnya dikepung oleh hampir 300 orang musuh! Hanya Tuhan yg tahu betapa bersyukurnya kami, dan saat pesawat itu meninggalkan tanah, aku lihat makin lama pucuk-pucuk pokok menjadi semakin kecil. Tanpa sedar, setitik airmataku menitik. Ya..ada kerisauan dan ketakutan yg menguasai hatiku. Tapi melihat bumi menghijau yg ada di bawahku itu, aku tahu. Kalaulah aku diminta sekali lagi mengulanginya, demi mempertahankan tanah ini drpd musuhnya..demi mempertahankan nasib saudara-saudara seperjuanganku, aku takkan teragak-agak mengulanginya. Aku bersandar ke dinding pesawat..memejamkan mata sambil membiarkan rambutku diusik angin yg lalu..dalam perjalanan pulang ke Kem Gubir.
Suasananya cukup riuh saat kami mendarat. Rakan-rakan drpd pasukan kami serta pasukan-pasukan lain menyambut kami dengan usikan dan tepukan semangat. Hampir aku terduduk bila mendengar Tuan Aziz dimaklumkan bahawa pihak atasan sudah mengarahkan 18 keranda disediakan untuk kami semua. Dalam riuh-rendah suasana itu..aku hanya mencari tempat yg agak tenteram utk bersendirian sebentar. Sebuah trak Bedford 3 tan menjadi sasaranku. Aku bersandar ke tayar sambil menyalakan sebatang rokok yg diberi salah seorang rakanku tadi. Terasa lega tekak menerimanya setelah beberapa hari berpuasa. Aku dapat tahu, beberapa orang telah memohon cuti. Antaranya adalah Tuan Aziz yg aku dengar telah memohon cuti 3 hari drpd Pegawai Memerintah, Lt. Kol. Hasbullah, untuk berjumpa dengan ibubapanya. Dengarnya cutinya diluluskan. Aku?tak cuti pun takpa.Aku bujang lagi. Biarlah rakan-rakan yg dah ada keluarga ambik giliran dulu. Lagipun, mak ayah aku dah tak ada. “Kau ok komando?” suara itu membuatkan aku mengangkat muka. Terkocoh-kocoh aku cuba bangun. Beliau hanya memberikan isyarat tangan menyuruh aku duduk kembali. Lt Kol Hasbullah menenggekkan punggung ke atas tong dram yg diterbalikkan di depanku. Orgnya serius dan kelihatan tegas, tapi suaranya tenang sekali. Dengan tenang beliau mengeluarkan sebatang rokok dan dicucuhnya.
Lt Col Hasbullah Yusof (Bond) - beliau terkorban dlm insiden Nuri terhempas di Sg. Lundu , Sarawak, pd 18 Dis 1989
“Kau ok ke?” soal beliau lagi. tergagap-gagap aku menjawab. “Ok tuan..alhamdulillah.” “Aku bersyukur korang balik dgn selamat. Alhamdulillah..” ujarnya. Aku menundukkan kepala. “Tapi ada kawan-kawan kita yg mati dan cedera tuan.” Tak sedar bila ayat tu keluar dari mulutku. “Kau menyesal?” tanyanya terus. Terkedu aku nak menjawabnya. “Tak tuan..tapi mereka harus dibela.” Beliau mengalihkan pandangan ke arah padang, di mana kelihatan beberapa anggota sedang menggulingkan bekalan minyak pesawat yg baru tiba dalam tong dram.
“Kalau kau tanya aku..aku tau tak ada seorangpun kat sini yg akan kata mereka nak kehilangan nyawa atau anggota badan di sini atau dimana-mana jugak. Tapi aku kenal jiwa-jiwa berani ni yg takkan undur drpd medan walaupun itu risiko yg kita hadapi, sebab kalau kita berundur, anak bini kita pula yg akan terpaksa membayar harganya. Cucu cicit kita takkan sempat merasa udara bumi bertuah ni.”
Mendalam sungguh kata-katanya, membuatkan aku terdiam. Beliau bangun, menepuk bahuku, dan berlalu pergi. Aku menarik panjang-panjang asap rokok itu. Angin kering yg datang menyapa, mengingatkan aku apa yg diucapkan beliau tadi. Ya..satu hari nanti, takkan ada sesiapa yg akan ingat kisah kami di sini. Takkan ada yg menyebut apa yg kami harungi demi pertiwi di sini. Tapi sekurangnya pada masa tu, kalau Tuhan izinkan..aku akan mampu duduk di sebuah kerusi, melihat cucu cicitku berlarian dan berkejaran, menikmati erti kebebasan yg kami menangi di sini..=WRA=